PASIR MAS – Golongan ibu bapa merupakan ‘tunjang’ utama dalam mendidik anak-anak mereka untuk mengenali dan mendalami ilmu angkasa lepas kerana ilmu angkasa lepas dapat memberikan pendidikan sempurna tentang sains, teknologi dan agama.
Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie berkata, ilmu angkasa lepas ini merangkumi pelbagai aspek bidang ilmu termasuklah ilmu sains, teknologi, agama, geografi, matematik dan fizik.
Menurutnya, dengan pendedahan ilmu angkasa lepas secara tidak langsung akan membuka ruang kepada anak-anak supaya berfikir dan belajar dengan lebih cepat kerana mereka sudah terdedah dengan ilmu-ilmu tersebut.
“Jika kita lihat kepada pendidikan pada hari ini, pelajaran fizik, kimia dan geografi hanya mula belajar pada tingkatan empat atau lima dengan ini ia secara tidak langsung telah merugikan masa untuk mendalami ilmu ini.
“Dengan pendedahan tentang ilmu ini, anak-anak mula meminati untuk belajar dengan lebih tekun kerana apabila sudah memahami sesuatu mata pelajaran akan memberikan satu kelebihan untuk terus belajar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Dr Sheikh Muszaphar berkata, jika kita lihat pada hari ini, perkembangan sistem pembelajaran ilmu sains dan matematik semakin meningkat dengan dasar yang telah dilaksanakan oleh pihak berkenaan.
“Dengan perkembangan yang baik ini telah membuka peluang yang begitu luas kepada masyarakat terutama kepada pelajar untuk menceburi bidang sains dan teknologi kerana penglibatan ilmu ini merangkumi pelbagai aspek.
“Dalam pada itu, perkembangan ilmu agama dapat diaplikasikan dengan baik kerana dalam al-Quran sendiri telah menyatakan tentang kehebatan ilmu angkasa lepas dan perlu di pelajari oleh semua manusia yang bergelar khalifah Allah SWT,” katanya.
Menurut Dr Sheikh Muszaphar, masyarakat seharusnya menyokong dan memberikan peluang kepada anak muda kita untuk terus mengkaji dan mempelajari ilmu sains ini kerana ia akan membina sebuah masyarakat yang terbilang.
“Kita harus berusaha dengan lebih gigih lagi kerana negara kita semakin meningkat maju seiring dengan pembangunan negara maju yang lain dan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi,” katanya.
Sebahagian belia bergambar bersama Dr Sheikh Muszaphar, di sini, semalam.